fb fb fb fb fb

2 warga Vietnam didakwa edar, miliki dadah di Johor Bahru

Tertuduh, Lee Yuen Fei dan Trieu Thi Mai, dikawal polis ketika tiba di mahkamah

JOHOR BAHRU, 26 Jun- Sepasang warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Lee Yuen Fei, 45, dan Trieu Thi Mai, 22, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa secara bersama mengedar dadah jenis MDMA seberat 38 kilogram (kg) di sebuah premis di Taman Seri Orkid, Johor Bahru pada 14 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka turut berdepan pertuduhan kedua iaitu memiliki dadah jenis ketamin seberat 1.3 kg di lokasi dan masa yang sama, mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE