fb fb fb fb fb

Bekas Pengarah JKR didakwa terima RM70,000 daripada kontraktor

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Jun–Bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir. Norman Md. Rabani, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM70,000 daripada seorang subkontraktor tanpa sebarang balasan.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menerima wang tersebut daripada seorang subkontraktor yang mempunyai kepentingan dalam syarikat penyelenggaraan bangunan di Sunway Putra Mall, antara 10 Ogos 2024 hingga 23 Januari lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat, mencadangkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin, bersama tiga syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap awal bulan dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Abdul Hakeem Aiman, memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh merupakan penjawat awam yang telah memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dan telah direman selama empat hari.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin serta mengekalkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Hakim menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD