BATU BERENDAM, 26 Jun- Polis Melaka Tengah berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali sebagai 'Geng Yoe Gomen' yang disyaki aktif memecah masuk sekolah serta pejabat kerajaan sejak April lalu, susulan penahanan tiga individu pada 21 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner, Christopher Patit berkata tangkapan tersebut sekali gus menyelesaikan kes pecah pejabat kerajaan sekitar daerah itu.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek itu didapati memecah masuk enam sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka yang menyebabkan kerugian sebanyak RM9,200.
Hasil siasatan mendapati suspek pernah melakukan jenayah sama di sekitar daerah Alor Gajah dan Jasin serta di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
"Jadi dalam aktiviti ini suspek hanya menyasarkan kewangan sahaja, kes di Melaka Tengah hanya tertumpu pada kewangan sahaja. Hasil siasatan dan pengakuan daripada ketiga-tiga individu, suspek juga melakukan kes sama di daerah Alor Gajah sebanyak dua kes, di Jasin satu kes dan juga di luar daripada Melaka iaitu masing-masing satu di Kelantan, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur", katanya.
Katanya, tiada unsur pembabitan kakitangan awam dalam kes berkenaan dan modus operandi kumpulan itu adalah dengan meninjau lokasi sasaran terlebih dahulu sebelum memecah masuk premis menggunakan kaedah mengumpil pintu.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Batu Berendam.
Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tempoh lima tahun dan boleh dikenakan denda.
Ketiga tiga suspek juga turut memiliki rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah.