SEPANG, 27 Jun – Tiga individu termasuk dua wanita direman hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita di sebuah unit kediaman di Mutiara Ville, Cyberjaya, Selasa lalu.
Kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 20 tahun itu ditahan dalam tempoh kurang 48 jam selepas laporan polis dibuat menerusi operasi bersepadu siasatan Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
Ketua Polis Daerah Sepang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Norhizam Bahaman berkata, tangkapan dilakukan antara pukul 9 pagi hingga 2 pagi semalam di sekitar Johor Bahru dan Gemencheh, Negeri Sembilan.
“Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang pagi ini bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan serta pelanggaran undang-undang.
Selasa lalu, polis menerima laporan penemuan mayat seorang pelajar universiti berusia 20 tahun dipercayai dibunuh di unit penginapannya di Cyberjaya.
Punca kematian pelajar ijazah Sarjana Muda Fisioterapi berasal Kuching, Sarawak itu akibat hentakan kuat di kepala dan polis mengesahkan tiada kecederaan menunjukkan mangsa dirogol.