KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan tiga lelaki warga Indonesia kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta tidak memiliki permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas A di perairan Selangor, lewat malam tadi.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan bersama rampasan vesel tersebut dibuat pada pukul 12.50 tengah malam ketika rondaan rutin Maritim Malaysia di lokasi 3.75 batu nautika barat daya Tanjong Karang.
"Semasa rondaan, kapal Maritim Malaysia telah mengesan vesel berkenaan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan tersebut.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati, vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong berumur 33 tahun dan dua awak-awak yang berumur 32 dan 34 tahun. Kesemua mereka adalah warga Indonesia," menurut kenyatan itu.
Vesel terbabit juga didapati melanggar syarat lesen yang ditetapkan apabila menggunakan peralatan yang tidak berdaftar selain daripada yang dibenarkan untuk aktiviti menangkap ikan, serta tidak memiliki lesen yang sah bagi pengambilan hasil kerang.
Ketiga-tiga individu bersama hasil tangkapan yang dianggarkan seberat 200 kilogram telah ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin di Pulau Indah untuk tindakan siasatan selanjutnya.
"Kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik tidak mengusahakan sendiri dengan menggajikan warga asing tanpa kebenaran, peralatan mengambil hasil kerang yang tidak didaftarkan dan tidak mempunyai lesen yang sah untuk mengambil hasil kerang.
"Kes juga disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan dua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," tambah kenyataan itu.
Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undangundang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Selangor dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang.