fb fb fb fb fb

Polis tahan dua warga asing bersama dadah bernilai lebih RM34,000 di Lundu

FOTO IPD LUNDU

LUNDU, 4 Oktober - Polis menahan dua lelaki warga asing bersama dadah dianggarkan bernilai RM34,513.60 dalam beberapa serbuan berasingan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Lundu, Supt Sudirman Kram berkata, tangkapan dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Lundu antara pukul 6.30 petang semalam hingga 12.30 tengah malam semalam.

Dalam serbuan pertama di kawasan parkir belakang sebuah hotel, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun bersama dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 7 gram bernilai RM770.

Susulan tangkapan itu, pemeriksaan lanjut di sebuah bilik hotel berjaya menemukan 304.08 gram methamphetamine dengan nilai pasaran RM33,448.80.

Dalam serbuan ketiga di sebuah rumah tidak bernombor di Lorong 15 Kampung Stungkor, seorang lagi suspek berusia 36 tahun turut ditahan bersama 2.68 gram dadah bernilai RM294.80.

“Kedua-dua suspek didapati negatif dadah selepas ujian saringan awal air kencing, serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Namun, mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 11 Oktober ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) akta sama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE