TUMPAT, 4 Oktober - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas rokok elektronik (vape) bernilai RM6.7 juta dan menahan seorang lelaki dalam serbuan Op Taring Wawasan di Kampung Telaga Bata, awal pagi semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan dilakukan selepas risikan mendapati sebuah stor dijadikan tempat simpanan rokok elektronik untuk tujuan penyeludupan ke Thailand.
“Pemeriksaan menemui beratus kotak dibalut dengan plastik berwarna kuning yang mengandungi 29,960 unit cartridge vape dan 37,800 unit peranti vape di dalam stor berkenaan. Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM6.7 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati rokok elektronik itu tidak mematuhi piawaian Malaysia di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Elektronik), selain alamat yang tertera pada dokumen pendaftaran perniagaan (SSM) tidak sama dengan alamat operasi stor terbabit.
Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang bekerja sebagai penjaga stor ditahan bagi membantu siasatan.
"Manakala semua rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Perintah 4(1) dan 4(2) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Elektronik) 2022,” katanya.