fb fb fb fb fb

Identiti dua mangsa rentung di Sungai Lokan belum dikenal pasti

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail/RTM

GEORGETOWN, 4 Oktober – Identiti dua lelaki yang ditemukan rentung selepas kereta dinaiki terbakar di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan, pagi tadi masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata proses bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa telah selesai dijalankan di Hospital Kepala Batas petang tadi.

“Post mortem pun dah hantar ke hospital, jadi kita tunggu dulu keputusan post-mortem nanti. Tapi identiti belum lagi… kenderaan masih di tempat kejadian.

"Kita tak pasti lagi, kita tunggu dulu pengesahan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perasmian LACF 2025, di sini.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.09 pagi.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth yang tiba di lokasi pada pukul 7.21 pagi mendapati kereta berkenaan terbakar dengan kemusnahan dianggarkan 80 peratus.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD