KOTA BHARU, 5 Oktober - Mahkamah Majistret Kota Bharu Kelantan, hari ini membenarkan permohonan sambung reman terhadap lapan individu termasuk seorang wanita yang ditahan kerana disyaki menculik seorang lelaki di Pasir Puteh pada 26 September lalu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid hari ini.
Sambung reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 385, 342 dan 365 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Mohd Rosdi Daud mengesahkan kesemua lapan suspek itu disambung reman selama dua hari bermula esok sehingga Selasa ini untuk membantu siasatan kes culik.
Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada 8.30 pagi dengan berpakain lokap polis berwarna oren.
Media sebelum ini melaporkan, Polis Kelantan berjaya menangkap lapan suspek yang berusia antara 20 hingga 46 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di enam lokasi sekitar Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat.
Ketua Polis, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata mangsa dikurung di sebuah rumah tidak bernombor di Cherang Ruku, Pasir Puteh sebelum berjaya diselamatkan dan suspek meminta wang tebusan RM150,000 daripada majikan mangsa.
Selain penahanan lapan suspek, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 15 telefon bimbit, tiga kenderaan, seutas rantai besi bersama lima mangga, pelitup muka, pengikat kabel serta pakaian yang dipakai semasa kejadian.