fb fb fb fb fb

Tiga warga asing mengemis di KLIA1 ditahan

Dua lelaki warga Algeria dan seorang lelaki warga Iraq itu ditahan antara pukul 8.30 pagi hingga 10.30 pagi tadi/Foto AKPS

SEPANG, 12 Ogos - Taktik licik tiga warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan untuk mengemis di Balai Perlepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) terbongkar selepas mereka diberkas dalam operasi pagi tadi.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, dua lelaki warga Algeria dan seorang lelaki warga Iraq itu ditahan antara pukul 8.30 pagi hingga 10.30 pagi.

Penahanan dilakukan menerusi operasi pemantauan “Ulat KLIA” yang dijalankan bersama Pasukan Keselamatan KLIA (AVSEC).

“Perbuatan mereka bukan sahaja melanggar syarat kemasukan ke Malaysia, malah menjejaskan imej negara dan mengganggu keselesaan penumpang di lapangan terbang,” menurut kenyataan itu hari ini.

Ketiga-tiga suspek kemudiannya diserahkan kepada Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Selangor untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

Menurut AKPS, pihaknya memandang serius sebarang bentuk pelanggaran permit atau penyalahgunaan pas pelawat, khususnya yang mencemarkan nama baik negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN