SHAH ALAM, 12 Ogos - Seorang pengurus projek sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 68 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM600,000.
R. Vikram Menon, 46, membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Menurut pertuduhan, dia didakwa memindah dan melupuskan hasil daripada aktiviti wang haram dengan jumlah keseluruhan RM688,916.85 antara 17 Okt 2023 hingga 15 Okt 2024 di sekitar Damansara.
Kesalahan dilakukan melalui 301 transaksi ke 67 akaun bank bagi tujuan pemindahan, manakala 159 transaksi lain melibatkan pelupusan dalam talian dan wang tunai antara RM1,000 hingga lebih RM90,000.
Vikram Menon didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Amanina Wan Din pada prosiding hari ini menawarkan jaminan sebanyak RM80,000 bagi kesemua pertuduhan bersama seorang penjamin.
Peguam S Kulasegaran yang mewakili tertuduh memohon supaya mahkamah mempertimbangkan wang jaminan yang rendah pada RM30,000 dengan alasan ikat jamin bertujuan untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bukan bersifat menghukum.
Mahkamah menetapkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh setiap awal bulan, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Okt. - BERNAMA