fb fb fb fb fb

10 kenderaan mewah disita sepanjang Op Khas Luxury

Siti Zarina Mohd Yusop

BUKIT KATIL, 12 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka menyita 10 kenderaan mewah sepanjang Op Khas Luxury yang dijalankan sehingga hari ini.
 
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, sebanyak 119 kenderaan diperiksa dengan 46 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan. 
  
Antara kesalahan direkodkan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
 
Sebanyak 87 notis dikeluarkan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), serta peraturan-peraturan berkaitan.
 
"Sebuah MPV turut ditahan hari ini dipandu warga asing Myanmar yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Kenderaan ini dalam perjalanan ke Johor Bahru dari Kuala Lumpur dan ditahan di susur masuk Plaza Tol Jasin.

"Kenderaan ini membawa enam penumpang juga dipercayai warganegara Myanmar kesemua penumpang ini tidak mempunyai sebarang dokumen sah dan akan diserahkan kepada PDRM untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat JPJ Bukit Katil di sini.

Pada operasi sama, JPJ Melaka turut periksa 56 kenderaan dipandu warga asing dengan 38 kenderaan didapati melakukan pelbagai kesalahan.
 
Sebanyak 119 notis dikeluarkan kepada pemandu warga asing bawah Akta 333.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI