fb fb fb fb fb

Tiga warga asing ditahan, 72 peket minyak masak bersubsidi dirampas

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat (tengah), memeriksa bekalan minyak masak paket yang dijual oleh warga asing dalam Operasi Bersepadu Agensi Penguatkuasaan di Kampung Padang Lebam, hari ini/Foto BERNAMA

MARANG, 30 Jun – Tiga warga asing ditahan manakala 72 peket minyak masak bersubsidi bernilai RM180 dirampas dalam operasi di lapan premis peruncitan sekitar Kuala Terengganu dan Marang, semalam.

Individu yang ditahan terdiri daripada dua warga Rohingya dan seorang warga Pakistan yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Isa berkata, mereka turut mengesan 10 kesalahan pelbagai jenis melibatkan nilai sitaan RM1,180, dengan kompaun berjumlah RM3,000.

“Tangkapan dilakukan Jabatan Imigresen membabitkan tiga individu bawah Peraturan 39 Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) kerana tiada dokumen serta pas yang sah,” katanya.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu bertujuan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang perdagangan, melindungi hak pengguna serta membanteras penyelewengan barangan kawalan bersubsidi.

“Kita akan teruskan operasi secara bersepadu bersama agensi lain seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengenal pasti dan membanteras pelanggaran peraturan oleh peniaga,” katanya.

Operasi membabitkan 30 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu.

Antara agensi yang menyertai operasi ialah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

GRACE AISYAH KEDAYAN