KUALA TERENGGANU, 30 Jun- Polis Terengganu telah membuka 25 kertas siasatan membabitkan kes penipuan menggunakan modus operandi kononnya cabutan bertuah dianjurkan sebuah bank tempatan menerusi skim Al-Awfar.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, bagi tempoh Januari tahun ini sehingga Jun sebanyak RM782,616.35 kerugian direkodkan.
Pihaknya melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil JSJK mengenal pasti modus operandi berkenaan iaitu mangsa akan menerima pautan muat turun fail APK melalui media sosial.
"Ia membolehkan suspek mendapat kawalan terhadap peranti mangsa seterusnya membaca mesej Kod Kebenaran Transaksi (TAC) atau Kata Laluan Sekali Guna (OTP) yang dihantar bank untuk mengakses aplikasi perbankan dan e-dompet dan melakukan transaksi tanpa pengetahuan mangsa," menurut kenyataan itu.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sindiket di sebalik aktiviti ini.
PDRM sedang bekerjasama dengan pihak bank berkenaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) transaksi mengesan transaksi serta pemilik akaun ‘mule’.
"Orang ramai dinasihatkan jangan mudah terpedaya tawaran yang diterima melalui aplikasi Whatsapp yang mendakwa telah memenangi hadiah wang tunai, lebih-lebih lagi tanpa penyertaan rasmi.
"Pengguna dinasihati menyemak dahulu dengan pihak bank melalui saluran rasmi jika menerima pautan meragukan serta tidak sesekali berkongsi maklumat perbankan atau OTP kepada mana-mana pihak," tambah kenyataan itu.