fb fb fb fb fb

Lelaki rugi lebih RM1.5 juta, terpedaya pelaburan dalam talian

Foto hiasan

MIRI, 30 Jun- Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an di Miri kerugian lebih RM1.5 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian.

Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa pada awalnya melihat satu iklan pelaburan secara dalam talian sebelum menekan pautan berkenaan.

Apabila menekan pautan tersebut, mangsa terus berhubung dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai 'Susan' melalui aplikasi WhatsApp.

"Mangsa kemudiannya membuat 22 transaksi wang berjumlah RM1.54 juta ke lapan akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek, kononnya sebagai sebahagian daripada urusan pelaburan saham.

"Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila suspek memberi pelbagai alasan apabila diminta menjelaskan keuntungan pelaburan seperti dijanjikan," menurut kenyataan itu.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI