KUALA TERENGGANU, 27 Jun - Tiga vesel nelayan Vietnam berjaya dipintas dan ditahan Maritim Malaysia Negeri Terengganu selepas dikesan menceroboh perairan negara dalam operasi Op Naga pada Selasa lalu.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, ketiga-tiga vesel itu dikesan kira-kira 152 batu nautika timur Kuala Terengganu, ketika sedang menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran.
Seramai 31 kru termasuk tiga tekong, berusia antara 23 hingga 50 tahun, turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen sah.
31 kru termasuk tiga tekong, berusia antara 23 hingga 50 tahun turut ditahan - Maritim Malaysia
“Hasil rampasan melibatkan 8 tan pelbagai jenis ikan campur dan 3,000 liter minyak diesel, dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM4.5 juta,” katanya.
Menurutnya, dua daripada vesel dikenal pasti sebagai vesel induk, manakala satu lagi adalah vesel bekalan.
Beliau berkata, kesemua vesel diiring ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Jika sabit kesalahan, tekong boleh didenda sehingga RM6 juta, manakala kru boleh didenda sehingga RM600,000 setiap seorang.
Beliau berkata, tangkapan ini merupakan kejayaan ketiga Maritim Terengganu tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan lima vesel dan 50 kru ditahan, dengan nilai rampasan mencecah RM7.5 juta.