SEPANG, 11 Ogos – Tiga individu termasuk seorang wanita tumpas selepas polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM436,000 dalam tiga serbuan berasingan di Selangor.
Dadah tersebut dipercayai untuk diedarkan ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintenden Albany Hamzah berkata, operasi khas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah KLIA itu dijalankan pada 4 dan 5 Ogos lalu di sekitar Sepang, Kajang dan Gombak.
“Kes pertama pada 4 Ogos pukul 11.30 pagi di parkir sebuah pangsapuri servis di Sepang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 42 tahun.
"Rampasan membabitkan satu kilogram ketamin dan 1.54 kilogram Erimin 5 bernilai RM204,000.
“Modus operandi suspek ialah mengambil bekalan dadah di sekitar Selangor, menyembunyikannya dalam bagasi dan menaiki penerbangan awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Serbuan kedua pada hari sama pada pukul 2.30 petang di sebuah pangsapuri di Kajang, membawa kepada penemuan satu kilogram syabu bernilai RM32,000 yang disorok dalam kenderaan di parkir.
“Suspek menggunakan kenderaan diletakkan di kawasan pangsapuri sebagai stor simpanan dadah untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Albany berkata, kes ketiga pada 5 Ogos pukul 10 malam di sebuah pangsapuri di Gombak membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan berusia 32 tahun.
"Wanita terbabit ditahan bersama satu kilogram ketamin dan 1.5 kilogram Erimin 5 bernilai RM200,000.
“Suspek wanita dipercayai menunggu masa sesuai untuk mengambil penerbangan ke Sarawak. Semakan mendapati dia mempunyai lima rekod jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata, semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Polis menganggarkan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada lebih 21,000 pengguna dalam masa sehari.