GUA MUSANG, 11 Ogos -Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 1,103 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, atas pelbagai kesalahan.
Pengarahnya Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, sepanjang tempoh itu seramai 2,358 warga asing diperiksa melalui 315 operasi.
Menurutnya dalam Op Bersepadu yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Stesen Penguat kuasa JPJ Mentara Gua Musang, seramai 37 individu disyaki PATI lagi telah ditahan.
Katanya, operasi tersebut membabitkan pemeriksaan warga asing di dalam pengangkutan awam bas ekspres yang melalui jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis untuk ke Lembah Klang.
"Mereka ini kebanyakan masuk untuk bekerja dan mereka gunakan transit dari Selatan Thailand untuk masuk ke sini secara haram dan bekerja di Lembah Klang. Kami dapati bahawa kebanyakan mereka ini melakukan kesalahan imigresen dan cuba untuk mengelak pemeriksaan imigresen. Kita telah jalankan risikan sejak tiga minggu lepas, kita dapati mereka akan berulang lakukan kesalahan-kesalahan. Jadi harap dengan ada operasi ini mungkin mendapat mesej bahawa kita tidak akan duduk diamlah," katanya kepada pemberita, di sini.
Sementara itu, dalam temu bual bersama beberapa PATI yang ditahan, mereka mengakui datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan.
“Saya datang dari Thailand ke Malaysia melalui sungai. Datang untuk cari duit,” kata R. Mysaiah, seorang warganegara India.
Seorang lagi warga asing, Nato Rashidi dari Indonesia berkata, beliau telah tinggal di Malaysia selama 10 tahun menggunakan pasport yang telah tamat tempoh sejak 2020.
“Saya buat pasport dari 2015 hingga 2020, dah lima tahun mati,” katanya.
JIM Kelantan menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi dan keselamatan negara terus terpelihara.