KUALA TERENGGANU, 11 Ogos -Seorang bayi lelaki berusia 23 bulan yang meninggal dunia pada Jumaat lalu dipercayai menjadi mangsa penderaan apabila pemeriksaan awal mendapati terdapat banyak kesan kecederaan dan lebam pada tubuh mangsa.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata ketika ini pihaknya masih menunggu laporan penuh perubatan mangsa.
Menurut beliau, empat individu sudah diambil keterangan termasuk bapa kandung dan ibu tiri mangsa yang ditahan reman semalam.
Turut dipanggil memberi keterangan ialah doktor dan seorang jururawat yang merawat anak bongsu daripada dua beradik tersebut.
Pasangan suami isteri masing-masing berusia 27 dan 30 tahun sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki terlibat dalam penderaan tersebut.
"Dan kita dalam proses melengkapkan siasatan daripada segi kecederaan memang ada kesan lembam di seluruh badan dab hasil bedah siasat ada pendarahan di kepala," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis serah tugas timbalan Ketua Polis Terengganu di IPK Terengganu.
Senior Asisten Komisioner Suffian Sulaiman dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Terengganu berkuat kuasa hari ini.