fb fb fb fb fb

Bukan pelancong tulen, tujuh warga asing gagal masuk Malaysia

Kesemua mereka diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama/Foto AKPS

BUKIT KAYU HITAM, 11 Ogos – Tujuh warga asing disekat daripada memasuki negara ini selepas disyaki bukan pelancong tulen dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, mereka terdiri daripada enam warga Thailand dan seorang wanita warga India.

Beliau berkata, kesemua individu terbabit diberikan Notis Penolakan Masuk (NPM) mengikut peruntukan Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memenuhi syarat kemasukan sebagai pelawat ke Malaysia.

“Antara alasan penolakan termasuk tidak mematuhi ketetapan di bawah Pekeliling Imigresen Malaysia (PIMT) Bilangan 10/2017, tidak memenuhi syarat ATKPI NPM serta memiliki dokumen perjalanan yang tidak sah seperti pas sempadan rosak.

“Kesemua mereka diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tindakan penolakan masuk dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pekeliling jabatan yang berkuat kuasa ketika ini.

Tambahnya, tiada rampasan dilakukan dan tiada elemen jenayah atau siasatan penguatkuasaan dikesan.

GRACE AISYAH KEDAYAN