BUKIT KAYU HITAM, 11 Ogos - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mematahkan cubaan menyeludup 2,500 liter minyak diesel menggunakan lori treler yang diubah suai tangki simpanannya.
Lori dari negara jiran itu ditahan dalam pemeriksaan rutin di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam antara pukul 8.30 hingga 11 pagi semalam.
Ketua Bahagian Operasi Khas AKPS Bukit Kayu Hitam, Saiful Jefrey berkata, minyak diesel yang dirampas bernilai RM7,500, manakala lori treler bernilai RM80,000.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengubah suai kenderaan bagi tujuan penyeludupan, dan Seksyen 64(1) akta sama untuk penyitaan kenderaan bagi siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rampasan itu membuktikan komitmen berterusan AKPS membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan negara, khususnya pengubahsuaian kenderaan untuk membawa bahan kawalan.
Menurut Saiful, berdasarkan rekod operasi tahun ini, AKPS Bukit Kayu Hitam menahan 10 kenderaan pelbagai jenis.
Ini termasuk pacuan empat roda, pacuan dua roda dan lori treler dalam kes penyeludupan minyak diesel melalui pengubahsuaian tangki, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM957,800.