KOTA BAHRU, 11 Ogos - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah dan penyeludupan minyak petrol bersubsidi dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan pertama dilakukan pada 8 Ogos lalu pukul 5.15 petang di bawah jejambat Kampung Kubang Panjang di sini, selepas anggota mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan menemui 320 biji pil yaba di dalam beg sandang suspek berusia 29 tahun dengan anggaran rampasan bernilai RM11,000 termasuk sebuah motosikal. Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Nor Azizan berkata, serbuan kedua pada 9 Ogos pukul 11.30 pagi pula dilakukan bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pasir Mas di sebuah rumah di Kampung Gual Nibong, Rantau Panjang.
“Pemeriksaan menemui 725 liter minyak petrol di dalam tong dengan nilai RM1,486.25 yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand. Pemilik rumah, seorang lelaki berusia 25 tahun, mengaku terhadap pemilikan bahan tersebut.
“Hasil rampasan diserahkan kepada KPDN Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.