fb fb fb fb fb

Ops Gegar : 13 rumah urut diserbu, 54 ditahan

Pengarah Imigresen Negeri Perak, Datuk James Lee

IPOH, 11 Ogos - 54 wanita warga asing ditahan dalam Ops Gegar yang dijalankan serentak di 13 premis rumah urut sekitar bandar raya Ipoh, malam tadi.

Pengarah Imigresen Negeri Perak Datuk James Lee berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 48 warga Thailand, dua Indonesia dan empat Vietnam berusia antara 20 hingga 35 tahun, dipercayai terbabit dalam kegiatan tidak bermoral.

Operasi yang dijalankan hasil risikan selama dua minggu itu membabitkan 91 pegawai penguat kuasa dari Perak, Kuala Lumpur dan Selangor.

Keseluruhannya, seramai 113 individu diperiksa melibatkan 58 lelaki dan 55 wanita warga asing.

"Kesalahan dilakukan bawah Akta Imigresen dan juga peraturan-peraturan berkaitan memandangkan kebanyakan mereka datang ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial, sekali gus melakukan kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1993," katanya.

Turut ditahan beberapa pelanggan tempatan, selain penjaga dan pemilik premis yang akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Modus operandi sindiket adalah dengan berselindung di sebalik operasi rumah urut, namun menawarkan khidmat seks sama ada di premis atau di luar dengan bayaran antara RM50 hingga RM100.

Kesemua tangkapan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Meru untuk siasatan lanjut.

MASNIZA AWANG KECHIK