fb fb fb fb fb

Tiga suspek samun bersenjata diburu

Tular video memaparkan tiga lelaki bertopeng menyamun pusat hiburan di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan pada 15 Jun lalu

TELUK INTAN, 21 Jun - Tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah premis hiburan di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, minggu lepas kini diburu polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin, salah seorang daripadanya merupakan lelaki tempatan berusia 37 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau dan disenaraikan sebagai orang dikehendaki polis.

“Siasatan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di lokasi kejadian menemukan beberapa bahan bukti termasuk kesan darah, dua cap jari dan serpihan kaca.

Polis turut menyiasat rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya menerusi kenyataan.

Suspek mengambil telefon bimbit milik pekerja dan wang tunai berjumlah RM2,000 dari kaunter premis.

"Dua pelanggan turut dicederakan menggunakan parang selain memecahkan cermin empat kenderaan yang berada di sekitar premis," tambah beliau.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak oleh pengawal keselamatan yang bekerja di premis berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata dan Seksyen 427 kanun sama kerana khianat terhadap harta benda awam.

NORAINI BINTI WAHIB