fb fb fb fb fb

Gagal seludup 19 tan beras siam, suspek lari masuk semak

Sebahagian beras siam yang cuba diseludup masuk ke negara jiran dalam serbuan pada awal pagi Jumaat/Foto Facebook PGA

TANAH MERAH, 21 Jun – Cubaan menyeludup 19,000 kilogram beras putih dari Thailand digagalkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 (BN9) selepas pihaknya mengesan beberapa individu sedang memunggah guni ke dalam treler di Jalan Kampung Air Gatal, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, kesemua suspek bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan yang sedang melakukan rondaan Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan lanjut ke atas treler tersebut menemukan 19 tan beras putih yang disyaki cuba diseludup untuk pasaran tempatan.

“Kesemua barangan rampasan termasuk treler dianggarkan bernilai RM426,000 dan telah diserahkan kepada Kawasan Simpanan Padi dan Beras Negara (KSPBN) Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Menurut beliau, operasi itu merupakan sebahagian usaha berterusan PGA bersama agensi berkaitan bagi membanteras aktiviti penyeludupan barang kawalan di sempadan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994,” katanya lagi.

GRACE AISYAH KEDAYAN