RANTAU PANJANG, 21 Jun – Taktik dua lelaki bersembunyi dalam bangsal kayu di Kampung Lubok Gong sambil menyimpan pil yaba dalam kotak rokok terbongkar apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 dalam Op Taring Wawasan Kelantan, pada Khamis lalu.
Dalam serbuan pukul 7.15 malam itu, dua suspek berusia 38 dan 44 tahun ditahan ketika pasukan keselamatan menjalankan rondaan di kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan ke atas bangsal tersebut menemui 38 biji pil yaba bernilai RM570 yang disorok dalam kotak rokok.
“Kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis syabu selepas menjalani ujian saringan air kencing,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurutnya, suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.