fb fb fb fb fb

Lelaki sembunyi dalam semak bawa air ketum

Anggota PGA menahan seorang lelaki bersama rampasan air ketum dan daun ketum di Kampung Telaga Bata, Tumpat pada Khamis lalu/Foto Facebook PGA

TUMPAT, 21 Jun – Taktik seorang lelaki menyembunyikan air ketum dan daun ketum dalam kawasan semak gagal mengaburi mata Pasukan Gerakan Am (PGA) apabila dia dicekup dalam operasi di Kampung Telaga Bata, di sini pada Khamis lalu.

Lelaki tempatan berusia 21 tahun itu ditahan dalam keadaan mencurigakan pada pukul 3.45 petang oleh anggota Batalion 9 PGA yang sedang menjalankan rondaan Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 30 bungkus air ketum yang telah diproses dan tiga kilogram daun ketum di sekitar lokasi penahanan.

"Suspek turut didapati positif dadah jenis syabu selepas menjalani ujian saringan awal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lelaki berkenaan bersama semua barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

GRACE AISYAH KEDAYAN