TUMPAT, 21 Jun – Dua lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian loteri awam tanpa lesen dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika leka di atas jeti di Pantai Geting, di sini, pada Khamis lalu.
Serbuan dilakukan anggota Batalion 9 PGA sekitar pukul 7 malam menerusi Op Taring Wawasan Kelantan, selepas kelibat kedua-dua suspek berusia 24 dan 52 tahun dikesan dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan badan menemui satu unit mesin cetak mudah alih, empat keping resit loteri awam dan wang tunai berjumlah RM683 dalam beg milik suspek.
“Kesemua barangan itu disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian haram dan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM833,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.