fb fb fb fb fb

PGA tumpas cubaan seludup 11 ekor lembu

Batalion 9 PGA menahan lori dipandu lelaki berusia 28 tahun yang membawa 11 ekor lembu/Foto Facebook PGA

TUMPAT, 20 Jun – Tindakan seorang lelaki membawa 11 ekor lembu tanpa sebarang dokumen sah menggunakan lori membawa padah apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Telaga Bata, di sini Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, anggota Batalion 9 PGA menahan lori dipandu lelaki berusia 28 tahun yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika melalui kawasan tersebut.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lori terbabit menemukan 11 ekor lembu hidup di bahagian belakang kenderaan itu.

“Pemandu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengesahan pemilikan atau pemindahan haiwan tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Katanya, suspek dipercayai menjadi penghantar haiwan berkenaan ke pasaran tempatan tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM151,000, termasuk nilai lembu dan lori, dan kes diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 kerana membawa haiwan tanpa dokumen yang sah.

GRACE AISYAH KEDAYAN