fb fb fb fb fb

Samun bersenjata: Polis Miri tumpaskan sindiket dalam tempoh 24 jam

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket samun berkumpulan bersenjata dalam tempoh kurang daripada 24 jam di Miri, Sarawak / Foto RTM

MIRI, 22 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket samun berkumpulan bersenjata dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah dua tingkat di Taman Viana, Jalan Bakam, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 berhubung insiden tersebut sebelum segera menggerakkan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa.

"Sebaik tiba, kumpulan penjenayah dilaporkan melarikan diri. Namun hasil maklumat orang awam, pihak polis berjaya mengesan dan menahan kesemua suspek dalam beberapa serbuan berasingan selain merampas semula barangan yang telah disamun," katanya dalam satu kenyataan.

Empat lelaki berusia antara 38 hingga 57 tahun ditahan, melibatkan seorang warga tempatan dan tiga warga asing.

Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah, senjata seperti pisau pemotong, topeng muka, serta pakaian milik suspek.

Pihak polis turut menemui semula barangan milik mangsa termasuk jam tangan, barang kemas, dokumen pengenalan diri, beg duit dan sejumlah wang tunai.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun bersenjata berkumpulan di sekitar Miri sejak tahun 2024.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 20 Jun hingga 27 Jun 2025 bagi membantu siasatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN