GEORGE TOWN, 22 Jun - Seorang ejen insurans kerugian lebih RM1.4 juta selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian melalui aplikasi dikenali sebagai XGI Horizon.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad dalam satu kenyataan berkata, mangsa seorang lelaki berusia 57 tahun, tertarik dengan iklan pelbagai pakej pelaburan saham yang disiarkan di platform Facebook.
Mangsa kemudian mendaftar sebagai ahli dalam aplikasi tersebut dan membuat pelaburan pertama pada 22 Disember tahun lalu dengan nilai hampir RM10,000.
Menurut beliau, pelaburan awal tersebut memperlihatkan keuntungan pantas apabila mangsa menerima pulangan sebanyak RM18,400 dalam tempoh singkat, sekali gus meyakinkan mangsa untuk terus melabur.
Mangsa, seterusnya melakukan 35 transaksi ke dalam tujuh akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan melebihi RM1.4 juta.
Namun, mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi tersebut.
Malah, dia turut diminta membuat bayaran tambahan sebagai syarat untuk pengeluaran wang.
Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat, terutamanya melalui platform dalam talian yang tidak sah.