JOHOR BAHRU, 20 Jun - Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah dan merampas 7.72 kilogram barang larangan itu dianggar bernilai lebih RM1.2 juta.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, sindiket berjaya dibongkar menerusi empat serbuan di sekitar Johor Bahru, 12 hingga 13 Jun lalu.
Turut ditahan, enam individu melibatkan empat lelaki tempatan, seorang lelaki Singapura dan seorang wanita Thailand.
"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menjadikan pangsapuri ataupun kondominium sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada pasaran tempatan.
"Kegiatan sindiket ini telah didapati aktif beroperasi sejak April 2025," katanya kepada media di sini.
Menurutnya lagi, kesemua suspek berusia 30 hingga 39 tahun itu didapati positif dadah dan dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta, dianggarkan RM1.48 juta.
Suspek direman sehingga 24 Jun untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.