SEPANG, 20 Jun- Polis berjaya mematahkan kegiatan satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan kereta sewa dan hotel sebagai modus operandi sejak tahun 2016 dalam dua operasi berasingan di daerah itu.
Empat individu termasuk sepasang suami isteri diberkas dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Norhizam Bahaman, berkata sindiket berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti secara 'bergerak' dengan sering menukar lokasi dan kenderaan bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah. Kes ini melibatkan sepasang suami isteri, dan pada peringkat awal kita merampas dadah dianggarkan bernilai RM16,500 – termasuk 84 gram syabu, 65 gram heroin, 14 gram ketamin dan 300 biji pil eramin 5," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, di sini.
Hasil soal siasat terhadap pasangan terbabit membawa kepada operasi susulan dan penahanan dua lagi lelaki tempatan, bersama rampasan 515 gram syabu dianggarkan bernilai RM20,000 serta sebuah lagi kenderaan sewa.
"Susulan siasatan ke atas pasangan ini, kita menjalankan tangkapan terhadap dua lelaki dengan rampasan 515 gram syabu bernilai lebih kurang RM20,000.
"Mereka juga menggunakan kereta sewa untuk transport dadah sekitar Sepang. Kegiatan ini dipercayai aktif sejak 2016 dan mereka tidak menetap di satu tempat, sebaliknya berpindah-pindah dari hotel ke hotel dan sering bertukar kenderaan," katanya lagi.
Ujian saringan air kencing mendapati suami kepada pasangan yang ditahan positif amphetamine dan syabu, manakala isterinya negatif.
Mereka dipercayai dibayar kira-kira RM1,600 untuk setiap penghantaran dadah kepada pelanggan di daerah itu.
Sementara itu kedua-dua suspek lelaki yang ditahan dalam operasi kedua juga disahkan positif dadah, dengan salah seorang daripada mereka mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kesemua suspek direman untuk membantu siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Ketika ini usaha sedang dijalankan untuk mengesan dalang utama sindiket serta sumber bekalan dadah yang dipercayai diperoleh dari luar daerah.