fb fb fb fb fb

Kes rasuah dadah: Rayuan bekas ASP gagal, hukuman penjara kekal

Hasbullah Ali Alias, 48 diiringi polis ketika tiba di mahkamah hari ini

KUANTAN, 20 Jun  – Seorang bekas pegawai polis berpangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan menerima rasuah berkaitan kes dadah yang dikendalikannya tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Radzi Harun menolak rayuan Hasbullah Ali Alias, 48, dan mengekalkan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM25,000 seperti yang diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum ini.

“Mahkamah mendapati keputusan yang dibuat oleh hakim perbicaraan sebelum ini adalah adil dan berlandaskan kepada kehendak undang-undang seperti termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman selepas pihak pembelaan memohon untuk membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.

Hakim turut menaikkan jaminan tertuduh daripada RM5,000 kepada RM15,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM Kuantan pada setiap Isnin pertama bulan dan pasportnya ditahan sehingga kes selesai.

Hasbullah yang pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada seorang lelaki di sebuah restoran di Jalan Beserah, Kuantan pada Mei 2018.

Wang itu dipercayai bertujuan sebagai ganjaran kepada seorang timbalan pendakwa raya untuk membantu menyelesaikan satu kes dadah yang sedang dikendalikan tertuduh.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz.

GRACE AISYAH KEDAYAN