ALOR SETAR, 5 Jun - Tiga pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berhenti di lorong kecemasan di kilometer 49.4 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan).
Kesemua mangsa berusia 19 tahun dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing sempena Hari Raya Aidiladha.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad menerusi kenyataan berkata kejadian pada pukul 2:10 petang itu dipercayai berlaku apabila salah seorang penunggang motosikal hilang kawalan hingga melanggar bahagian belakang MPV terbabit.
Pada masa sama, sebuah lagi motosikal datang dari arah belakang gagal untuk mengelak lalu merempuh motosikal pertama.
Akibat perlanggaran tersebut, dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala seorang lagi pembonceng motosikal mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar (HSB) untuk rawatan lanjut.
Pemandu dan ketiga-tiga penumpang MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSB untuk proses bedah siasat.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiga penuntut IKBN maut ketika balik kampung
