BUTTERWORTH, 5 Jun - Peranti rokok elektronik (vape) dan cecair vape bernilai RM5.17 juta termasuk cukai dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menerusi dua serbuan berbeza pada April lalu.
Pengarah JKDM negeri, Rohaizad Ali berkata rampasan melibatkan 86,086 unit peranti vape dan 996.5 liter cecair vape.
Pihaknya mengempur sebuah kontena di Pelabuhan Butterworth Utara (NBCT) serta sebuah lagi di Pelabuhan Klang.
Tiga lelaki, termasuk seorang warga China diberkas menerusi serbuan pertama pada 3 April lepas.
Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan menemukan 14,200 unit peranti rokok elektronik dan 210 cecair vape tidak diikrarkan semasa pengimportan bersama-sama barang dagangan lain.
Ia dianggar bernilai RM1.33 juta dengan jumlah duti RM205,400," katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini.
Siasatan mendapati kontena tersebut diisytiharkan mengandungi barangan plastik, namun vape dan cecairnya tidak diisytiharkan dan diletakkan bersama barangan lain dalam kontena itu.
Dalam serbuan kedua pada 10 April lepas, sebanyak 71,886 unit peranti rokok elektronik dan 786.5 liter cecair vape bernilai RM3.64 juta termasuk cukai dirampas.
Ia menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kontena dari China yang berlabuh di Pelabuhan Klang.
Seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang berperanan sebagai ejen ditahan.
“Kontena ini diisytiharkan mengandungi tali pinggang dan dompet, namun pemeriksaan mendapati terdapat vape serta cecair vape yang tidak diisytiharkan bersama barang dagangan lain,” katanya.
Siasatan lanjut ke atas kedua-dua kes berkenaan sedang dijalankan mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.