SHAH ALAM, 6 Jun- Satu sindiket pengedaran dadah yang beroperasi sekitar Lembah Klang sejak lapan bulan lalu berjaya ditumpaskan menerusi lima siri serbuan dalam operasi khas dikenali sebagai Op Alstonia.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan serbuan yang dijalankan pada 3 Jun lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Selangor itu membawa kepada rampasan dadah bernilai RM5.1 juta dan penahanan sembilan individu.
Individu tersebut terdiri daripada tujuh lelaki tempatan, seorang wanita tempatan, dan seorang wanita warga asing, berusia lingkungan 24 hingga 36 tahun.
Beliau berkata serbuan pertama telah dilakukan di Bukit Jalil dan melibatkan penahanan sepasang kekasih bersama rampasan dadah.
Susulan penangkapan tersebut, empat lagi serbuan dijalankan di sekitar Puchong dan Kajang pada hari sama.
Jelasnya, modus operandi sindiket ini antaranya menyamar sebagai pemandu e-panggilan dan mengedarkan dadah yang telah dicampur ke dalam minuman dan vape.
"Mereka jual untuk pasaran tempatan. Ada dua lapisan maksudnya ada runner yang jual di pusat-pusat hiburan juga secara persendirian termasuk dalam talian dan atas lapisan runner itu ada pusher yang menjual kepada runner dan yang membekalkan dadah.
"Salah satu tempat serbuan itu adalah stor; tempat menyimpan dadah untuk dibekalkan kepada runner secara berkala, jadi mereka dalam satu kumpulan yang sama.
"Salah satu modus operandi, sambil pandu dia edarkan dadah, sebagai satu penyamaranlah. Maksudnya dia buat kerja ini secara penyamaran dan mungkin menggunakan perkhidmatan e-panggilan itu untuk dia edarkan dadah juga," katanya kepada pemberita pada sidang media kejayaan tangkapan dadah di sini.
Datuk Hussein berkata saringan awal terhadap suspek mendapati enam daripada sembilan suspek positif dadah serta tiga daripada individu tersebut turut mempunyai rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.
Turut dirampas dalam serbuan itu ialah lima buah kereta, barang kemas, jam tangan, beg tangan dan wang tunai pelbagai mata wang dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM341,449.16.
Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 .
Analisa penggunaan dadah mendapati keseluruhan dadah pelbagai jenis yang dirampas menerusi serbuan itu boleh dibekalkan kepada lebih 43,000 pengguna dalam masa sehari.