GEORGE TOWN, 6 Jun - Seorang jurutera membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) setelah menjadi mangsa penipuan pelaburan membabitkan kerugian lebih RM1 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa dipercayai telah termakan ayat cinta seorang wanita yang dikenali dalam talian.
Kemudian mangsa telah diperkenalkan dengan satu skim pelaburan atas nama syarikat ‘Goldencrimbon’ yang menawarkan pulangan yang lumayan.
Akibat mempercayai wanita itu, mangsa telah memasukkan sebanyak RM95,510.00, kemudian menerima pulangan keuntungan sebanyak RM108,611.00.
Selepas melihat hasil tersebut, mangsa telah 103 transaksi pemindahan wang dan hanya menyedari bahawa dirinya telah ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan.
Kes kini disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Kesiksaan atas kesalahan penipuan.
Polis mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan janji keuntungan tinggi dalam masa singkat dan mengesyorkan pelabur menyemak terlebih dulu status sesebuah syarikat di laman web Bank Negara Malaysia sebelum mengambil keputusan untuk melabur.