KUALA LUMPUR, 7 Jun- Polis akan mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat 30 sebuah di sebuah pangsapuri di Jalan Jalil Impian 1 Bukit Jalil.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid berkata keterangan akan diambil kira-kira pukul 9 malam ini.
"Keterangan saksi pakar dan saksi lain akan dirakam pada Selasa minggu depan," katanya menerusi satu kenyataan kepada media.
Menurut beliau, kes tersebut masih dalam siasatan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat
Terdahulu, dilaporkan polis telah menahan ibu dan bapa saudara mangsa.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Aidil Bolhassan memaklumkan kedua-dua mereka yang merupakan warga Indonesia berusia 25 dan 27 tahun, direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Semakan mendapati bapa kanak-kanak terbabit adalah warga tempatan dan berkahwin dengan ibu mangsa yang merupakan warga Indonesia.
Dilaporkan kanak-kanak lelaki tersebut maut dipercayai terjatuh dari balkoni rumahnya, Khamis lalu.