fb fb fb fb fb

Tiga penjenayah seludup senjata api, curi kereta dan pecah rumah maut ditembak

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad / Foto RTM

GEORGE TOWN, 13 November - Tiga penjenayah yang aktif menjalankan kegiatan seludup senjata api dan pecah rumah, maut ditembak anggota polis dalam kejadian berbalas tembakan di Nibong Tebal, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata kesemua mereka turut dipercayai terlibat, jenayah curi kenderaan mewah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pulau Pinang dan daerah Seberang Perai Selatan (SPS) sedang menjalankan operasi sebelum terserempak dengan dua kereta dalam keadaan mencurigakan.

"Polis bertindak menghampiri dua kereta tersebut kerana berada dalam keadaan mencurigakan sebelum memperkenalkan diri sebagai pihak polis, namun tiba-tiba suspek terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis.

"Pasukan polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri dan hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga lelaki itu telah mati di tempat kejadian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan ditempat kejadian polis menemukan sepucuk pistol semi-auto, sepucuk revolver dan dua kotak peluru.

Turut ditemui dua bilah parang, sebatang kuku kambing, sebatang tukul besi serta satu beg kecil mengandungi peralatan curi kenderaan, selain enam keping nombor pendaftaran kenderaan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati suspek pertama yang dipercayai ketua kumpulan, didapati mempunyai 35 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah serta lapan rekod kes dadah.

Suspek kedua pula mempunyai enam rekod kes dadah, manakala suspek ketiga tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.

"Dengan tertumpasnya penjenayah terbabit, polis berjaya menyelesaikan 33 kes curi kenderaan, samun dan pecah rumah melibatkan kerugian keseluruhan dianggarkan bernilai kira-kira RM4 juta," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Trainee