KUALA LUMPUR, 13 November- Polis sedang menyiasat ugutan bunuh yang diterima oleh seorang pemberi maklumat berhubung skandal rasuah membabitkan sebuah negeri, susulan ancaman yang diterima melalui panggilan aplikasi WhatsApp kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai kontraktor pembinaan menerima ugutan itu pada pukul 11.02 malam ketika berada di sebuah restoran di Kuala Lumpur.
Menurutnya, mangsa dihubungi oleh seorang lelaki yang mendakwa dari kumpulan pembunuh upahan dan diarah untuk membunuhnya dalam tempoh 24 jam jika dia enggan menutup mulut berkaitan isu rasuah terbabit.
Mangsa turut menerima dua keping gambar pistol bersama peluru serta sekeping gambar orang ditembak yang terbaring di atas jalan.
Terdahulu, media melaporkan pemberi maklumat skandal rasuah yang mendapat perhatian selepas mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta campur tangan mereka berhubung permintaannya untuk perlindungan dan kekebalan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, tampil membuat laporan polis.
Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).