RAWANG, 18 Januari- Tiga suspek mencuri kenderaan ditembak mati ketika melepaskan tembakan ke arah polis di Kota Emerald, Rawang, tengah hari tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dua daripada tiga suspek mempunyai 68 rekod jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan kecurian kenderaan, samun dan dadah.
Beliau berkata modus operandi suspek adalah menggunakan kereta sewa sebelum ditukar nombor pendaftaran kepada nombor palsu bagi menjalankan kegiatan jenayah itu. Suspek sekali lagi menggunakan modus operandi yang sama dengan menyewa sebuah kereta dan menukar nombor pendaftaran, hari ini.
Beliau menjelaskan, suspek telah melakukan sebanyak enam kegiatan mencuri kereta dalam tahun ini.
"Kita percaya mereka dalam usaha melakukan lagi satu jenayah pada hari ini. Keputusan untuk menahan dan menangkap mereka telah dibuat. Apa yang berlaku, bila kita menahan, mereka telah melepaskan tembakan. Justeru itu berlaku kejar-mengejar.
"Dalam kejar-mengejar itu juga, ada berbalas tembakan. Kita berjaya menumpaskan ketiga-tiga orang dalam kereta itu", katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.
Beliau berkata, dua suspek yang ditembak mati berusia 40 dan 43 tahun, manakala umur seorang lagi suspek sedang dikenal pasti.
Hasil siasatan juga mendapati suspek menjual kenderaan curi itu ke negara jiran.