KUALA LUMPUR, 29 Disember – Empat lelaki, termasuk seorang warga asing, ditahan dalam operasi Op Motosikal dan samseng jalanan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) pada malam Sabtu.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi berlangsung dari pukul 10 malam hingga 6 pagi semalam fokus kepada kawasan Jalan Raja Laut dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
"Tangkapan pertama melibatkan seorang warga asing di Jalan Alor, Bukit Bintang, yang ditahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan.
"Tiga lagi individu ditahan di lebuh raya DUKE berhampiran Gombak atas kesalahan memandu secara berbahaya dan melulu, di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambah beliau, kesemua suspek yang ditahan berumur antara 19 hingga 25 tahun dan telah dibawa ke JSPT KL untuk siasatan lanjut.