KUALA BERANG, 30 Disember-Seorang pekerja kilang ais mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki video pornografi kanak-kanak dan video lucah di Mahkamah Majistret Kuala Berang, Terengganu.
Tertuduh, Muhammad Affandi Mohd Azi, 33 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zul Azureen Zainalkepli.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10, Akta Kesalahan Seksual Terhadap kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen yang sama.
Tertuduh ditahan pada pukul 8.50 malam, 23 Disember lalu di Kampung Batangan, Marang, Terengganu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Mengikut pertuduhan kedua, dia ditahan kerana memiliki video lucah dan telah melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Tuan Norhasnida Tuan Nordin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
15 Januari 2025 ditetapkan sebagai tarikh hukuman.
Tertuduh sebelum ini ditahan dalam serbuan ‘Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC” di kediamannya.
Operasi tersebut membabitkan siri serbuan yang diselaraskan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan Perak.