KOTA BHARU, 30 Disember- Seorang suri rumah didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menawarkan khidmat seks di aplikasi WhatsApp 16 November lalu.
Tertuduh, Aniza Shakiera Ahmad, 36 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh mempunyai tujuh anak itu melakukan kesalahan dengan mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah rumah tumpangan di Padang Seri Paduka, Kubang Kerian, Kota Bharu pada pukul 7.30 malam 16 November lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap semasa polis menjalankan Op Noda dan membuat serbuan atau pemeriksaan di sebuah rumah tumpangan terbabit, yang mana dia telah menawarkan khidmat seks dengan bayaran sebanyak RM150 sekali langganan.
Dalam hujahannya, Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Nor, yang mengendalikan prosiding kes berkenaan, bagaimanapun meminta hukuman setimpal diberikan ke atas tertuduh.
Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan (YBGK) Ariyani Mohd Amin @ Abdul Hamid, memohon jaminan dikurangkan atas faktor tertuduh adalah suri rumah sepenuh masa, mempunyai tujuh anak dan suami bekerja di kilang pemprosesan ayam.
Mahkamah kemudiannya mengenakan denda RM2,000 dan jika gagal membayar denda, boleh dipenjara dua bulan.