KUALA TERENGGANU, 30 Disember- Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Kuala Terengganu merekodkan 573 kes berkaitan penipuan (scammer) sepanjang tahun ini melibatkan kerugian RM50 juta.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner (ACP) Azli Mohd Noor berkata jumlah itu berkurang sebanyak 1.2 peratus berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 580 kes penipuan melibatkan kerugian kira-kira RM100 juta.
"Berdasarkan rekod, kes penipuan tertinggi melibatkan e-dagang iaitu sebanyak 120 kes, penipuan telefon (113) diikuti pelaburan tidak wujud (94).
"Kes penipuan lain termasuk pinjaman tidak wujud iaitu 63 kes, penipuan cinta atau parcel scam (14), pinjaman wang tidak berlesen (6), jenayah komersil lain (66) dan kes tipu (96)," katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
Selain itu orang ramai perlu mengelak daripada terpedaya sebarang pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan untuk menjerat mangsa.