fb fb fb fb fb

Polis tahan dua suspek susulan penemuan mayat dalam but kereta

Tangkap layar video tular mengenai penemuan sebuah kereta yang dikatakan dihurung lalat di Jalan Kahang-Jemaluang

MERSING, 29 Disember- Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat seorang lelaki tempatan dalam but sebuah kereta di Kilometer 26, Jalan Jemaluang-Kahang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Penguasa Polis (SP) Abdul Razak Abdullah Sani berkata mayat lelaki berumur 28 tahun itu ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dalam sebuah kereta berwarna hitam miliknya dengan kesan kecederaan di leher.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan kereta itu dalam semak di tepi jalan berkenaan pada 1.50 tengah hari sebelum bergerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan.

"Bertindak atas maklumat risikan, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian itu, pada 4.30 pagi tadi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Razak berkata kedua-dua suspek berusia 33 dan 35 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana kesalahan membunuh.

"Susulan kejayaan tangkapan ini, kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam," katanya.

Terdahulu, tular di laman Facebook mengenai penemuan sebuah kereta yang dikatakan dihurung lalat di Jalan Kahang-Jemaluang.

SITI AISHAH MD ISA