JOHOR BAHRU, 22 Oktober- Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan memecah masuk sebuah restoran di Taman Desa Jaya, di sini, bulan lalu.
Tertuduh, I. Richi dan N. Dayalan, masing-masing berusia 21 tahun, serta L. Navindran, 25 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Atifah Azimah Wahab.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan tersebut pada pukul 3.00 pagi, 21 September lalu terhadap premis milik seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun.
Di mahkamah sama, I. Richi turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan menyimpan harta curi melibatkan sebuah telefon bimbit di lobi pangsapuri berhampiran Bandar Selesa Jaya, di sini, pada hari sama.
Kesemua tertuduh dibenarkan jaminan RM5,000 bagi pertuduhan pecah kedai manakala I. Richi diberi jaminan RM4,000 untuk pertuduhan kedua.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman, mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan, dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 17 November ini bagi lantikan peguam.