SARATOK, 22 Oktober - Tiga lelaki tempatan ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam beberapa serbuan berasingan pada Isnin dan semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mathew Manggie, berkata kesemua suspek berusia antara 25 hingga 42 tahun ditahan oleh pasukan petugas khas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok hasil risikan serta maklumat awam.
“Suspek pertama ditahan di Kampung Melango selepas menerima laporan daripada ibunya yang mendakwa anaknya terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Suspek kedua pula ditahan kerana berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Loji Air Lama, manakala suspek ketiga ditangkap di Rumah Krangas Baru, Roban hasil maklumat orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mathew berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati positif dadah dan mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.