fb fb fb fb fb

70 individu ditahan kes dadah di Kuching

Ops Tapis Khas Narkotik pada 13 hingga 20 Oktober lalu/Foto Polis Sarawak

KUCHING, 22 Oktober - Polis Kuching menahan 70 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Ops Tapis Khas Narkotik antara 13 hingga 20 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, lebih 70 pertuduhan telah difailkan, dengan beberapa suspek kini berdepan tindakan undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Daripada jumlah keseluruhan tangkapan, tujuh ditahan di bawah Seksyen 12(2), 64 individu di bawah Seksyen 15(1)(a), manakala seorang lagi suspek dituduh mengikut Seksyen 39C akta yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Polis turut merampas 1.89 gram syabu, 0.54 gram ketamin dan 0.50 gram Erimin 5 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM369.40.

Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Kuching untuk didakwa.

Alexson berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Beliau menegaskan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus komited dalam memerangi ancaman dadah demi melindungi masyarakat dan generasi akan datang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menghubungi Hotline JSJN Bukit Aman di 012-208 7222 atau JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.

GRACE AISYAH KEDAYAN